
BELAJAR MEMBACA
1) Membaca bebas
- Melalui pendekatan ini, pelajar akan membaca keseluruhan bahan yang mereka pilih. Aktiviti membaca diadakan di dalam bilik darjah dan dikawal oleh guru seberapa minimum yang boleh.
- Kaedah ini digunakan oleh pelajar yang mempunyai kebolehan membaca yang baik serta tidak memerlukan bantuan daripada guru dan rakan sebaya yang lain.
- Perkara yang paling penting dalam kaedah ini adalah guru perlu memberikan arahan awal kepada pelajar supaya mereka membuat persediaan sebelum mula membaca seperti menyediakan soalan-soalan sebelum, ketika dan sesudah membaca.
2) Membaca secara berkoperatif
- Pelajar secara berpasangan sama ada dua atau tiga mengambil giliran untuk membaca sebahagian daripada bahan secara lantang kepada rakan dalam kumpulan tersebut dan berhenti seketika untuk membincangkan apa yang telah mereka baca. Kaedah ini diteruskan sehingga buku atau petikan tersebut selesai dibaca.
- Kaedah ini digunakan untuk pelajar yang memerlukan sedikit bantuan daripada rakan sebaya dan untuk mereka yang tidak mampu membaca keseluruhan buku atau teks yang dipilih. Berikut merupakan beberapa garis panduan untuk mengajar membaca secara berkoperatif.
· Meninjau dan menaakul
Pelajar akan dibiarkan meninjau keseluruhan teks dan menyemak ilustrasi atau gambar sekiranya ada. Guru akan mengarahkan pelajar membaca di bahagian awal teks dan membiarkan mereka menaakul apa yang akan berlaku dan apa yang akan mereka pelajari daripada bahan yang dipilih.
· Membaca lantang atau senyap.
(a) Membaca lantang
(i) Semak bahan secara senyap sebelum memulakan bacaan lantang.
(ii) Seorang pelajar akan dipilih untuk membaca lantang di bahagian awal teks manakala pelajar lain mengikut secara beramai-ramai.
(iii) Apabila pelajar berhenti mereka akan berbincang tentang perkara yang telah di baca.
(iv) Pelajar membuat telahan tentang apa yang akan berlaku dan apa yang akan dipelajari pada bahagian lain.
(b) Membaca senyap
(i) Pelajar akan membaca bahagian yang sama secara senyap dan telahan perlu dibuat ketika membaca senyap.
(ii) Kemudian pelajar akan berbincang, bertindak balas dan menyemak telahan. Apabila pelajar berhenti membaca, mereka akan menceritakan semula dan meringkaskan apa yang telah mereka baca. Mereka juga turut menyatakan perasaan mereka terhadap apa yang telah mereka baca. Mereka juga boleh menyatakan sama ada mereka perlu mengekalkan atau mengubah keseluruhan telahan yang telah mereka buat.
(iii) Pelajar akan membuat telahan tentang apa yang akan mereka fikirkan seterusnya. Kemudian mereka akan meneruskan pembacaan secara senyap. Pola ini akan berterusan sehingga bahan tersebut selesai dibaca.
· Meringkaskan dan bertindak balas
Setelah selesai membaca keseluruhan bahan, pelajar akan membuat ringkasan. Mereka akan membincangkan tentang pandangan mereka tentang bahan tersebut dan menentukan apa yang perlu dilakukan terhadap bahan tersebut seperti membuat peta minda dan sebagainya.
Dalam menggunakan kaedah membaca berkoperatif, pelajar perlu mengambil giliran membaca sesuatu ayat, paragraf atau muka surat. Sekiranya pelajar tidak bersedia untuk membaca bahan tersebut, teruskan giliran pada rakan yang lain.
3) Membaca dengan panduan guru
Kaedah ini memerlukan guru memberikan panduan atau mengarahkan pelajar membaca secara senyap terhadap sesuatu bahan dan seterusnya bertanya soalan atau membantu mereka membina soalan-soalan ketika mereka membaca bahan bacaan yang telah ditetapkan. Melalui kaedah ini, pada setiap berhenti membaca, guru akan menggalakkan pelajar mengemukakan pendapat mereka tentang topik yang sedang dibaca. Kaedah ini digunakan apabila pelajar memerlukan sokongan dalam membina makna terhadap bahan bacaan disebabkan kesukaran bahan ataupun kemampuan pelajar yang rendah. Kaedah ini amat berguna dalam mendidik pelajar membaca. Guru akan memberikan sokongan pada peringkat awal bacaan dan mengurangkan sedikit demi sedikit bagi membenarkan pelajar membaca secara bersendirian.
4) Berkongsi membaca
Kaedah ini memberi peluang kepada pelajar yang mahir membaca menjadi model kepada pelajar yang kurang mahir. Pelajar yang kurang mahir ini akan mengikuti pelajar yang mahir membaca secara sukarela dan kemudian mereka akan berjaya menguasai kemahiran tersebut sehinggalah mencapai tahap membaca bebas dan tidak memerlukan sokongan tersebut.
5) Membaca lantang
Membaca lantang dapat membantu kanak-kanak memahami sesuatu bahan bacaan. Kaedah ini dapat membantu mengerakkan pengalaman latar pelajar dan membina istilah latar serta konsep yang terdapat dalam bahan. Cara membaca begini sesuai untuk bahan yang mengandungi banyak istilah atau konsep yang sukar dimengerti oleh pelajar. Setelah guru membaca bahan dengan lantang, pelajar perlu ikut membaca di bawah seliaan guru secara berkoperatif atau secara bebas.
0 comments :
Post a Comment