
PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA
Dalam proses mengajar membaca, terdapat beberapa pendekatan yang boleh diaplikasikan oleh guru. Antara pendekatan tersebut ialah pendekatan membina, pendekatan cerakinan dan pendekatan pengalaman bahasa.
(a) Pendekatan Membina
Pendekatan membina atau juga disebut sebagai pendekatan sintesis merujuk kepada pendekatan yang memerlukan guru mengajar murid membina perkataan dengan memperkenalkan unsur-unsur kecil terlebih dahulu lalu diikuti dengan unsur-unsur yang lebih besar. Menurut Yahya Othman (2004), dalam pendekatan membina terdapat kaedah abjad, kaedah suku kata dan kaedah fonik. Melalui kaedah abjad, murid-murid perlu dilatih menyebut dan menghafal huruf daripada ‘a’ sehingga ‘z’. Selepas itu, mereka perlu mengeja suku kata dan perkataan, huruf-huruf yang terkandung dalam suku kata dan perkataan.
Manakala kaedah suku kata pula merujuk kepada lanjutan daripada kaedah abjad. Berdasarkan kaedah ini penekanan diberikan kepada huruf vokal dan konsonan. Huruf konsonan akan dicantumkan dengan huruf vokal bagi menjadi suku kata. Suku kata pula akan digabungkan menjadi perkataan. Melalui kaedah ini, guru perlu memperkenalkan dahulu suku kata terbuka sebelum suku kata tertutup. Selain itu, berdasarkan kaedah fonik pula, bunyi-bunyi yang mempunyai kaitan dengan huruf diperkenalkan terlebih dahulu dan bukannya nama huruf. Selepas itu, bunyi-bunyi tersebut akan digabungkan untuk menjadi perkataan. namun demikian kaedah ini mempunyai masalah dari segi perlaksanaan bagi membunyikan huruf konsonan (Yahya Othman, 2004).
(b) Pendekatan Cerakinan
Pendekatan cerakinan atau analitik mempunyai sifat yang bertentangan dengan pendekatan membina kerana pendekatan ini dimulakan dengan memperkenalkan ayat terlebih dahulu dan kemudiannya dicerakinkan untuk menjadi unsur-unsur yang lebih kecil berupa perkataan, suku kata dan huruf. Bagi membolehkan pendekatan ini dapat menarik minat pelajar, guru harus memulakan pengajaran dengan cerita atau ayat yang kreatif. Dalam pendekatan cerakinan ini terdapat dua kaedah yang boleh diaplikasikan oleh guru iaitu kaedah perkataan dan kaedah ayat dan cerita (Yahya Othman, 2004). Berdasarkan kaedah perkataan. perkataan akan diperkenalkan dengan menggunakan kad perkataan. semasa guru menunjukkan kad imbasan, guru akan meminta murid menyebut perkataan itu beberapa kali. Dengan itu, kaedah ini dilihat lebih menekankan makna dalam bahan bacaan. Seterusnya, kaedah ayat dan cerita pula, lebih menekankan ayat sebagai bunyi yang bermakna dalam bacaan. Kaedah ini lebih memberi tumpuan kepada bahan bacaan yang berbentuk cerita.
(c) Pendekatan Pengalaman Bahasa
Berdasarkan pendekatan pengalaman bahasa merujuk kepada pengalaman dan pengetahuan sedia ada yang dipunyai oleh pembaca. Hal ini menunjukkan bahawa murid-murid akan lebih memahami mesej yang akan disampaikan oleh penulis sekiranya mereka mempunyai pengetahuan sedia ada tentang mesej tersebut.
Berdasarkan pendekatan-pendekatan dalam mengajar membaca ini, guru dilihat lebih berupaya dalam menyusun strategi untuk mengajar membaca dalam kalangan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan itu, matlamat yang ingin dicapai oleh guru sebelum sesi pembelajaran dapat dicapai dengan baik dengan mengaplikasikan pendekatan mengajar membaca ini.
RUJUKAN
Mahzan Arshad. 2003. Pendidikan Literasi Bahasa Melayu : Satu Pendekatan Bersepadu. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributiors.
Mahzan Arshad. 2008. Pendidikan Literasi Bahasa Melayu : Strategi Perancangan dan Pelaksanaan. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors.
Marohaini Yusoff. 1989. Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala Lumpur : KaryaDistari Sdn. Bhd.
Meithy Djiwatampu. 2008. Membaca untuk Belajar. Jakarta : Balai Pustaka.
Yahya Othman. 2004. Mengajar Membaca. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Zulkifley Hamid. 2006. Aplikasi Linguistik : Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

0 comments :
Post a Comment